DI ANTARA sifat-sifat yang mulia dan amat penting yang harus dimiliki pada setiap orang ialah sifat jujur dan amanah. Sifat inilah yang menentukan sama ada kita boleh dipercayai atau tidak. Sifat jujur dan amanah juga merupakan modal utama dalam segala apa jua urusan pekerjaan, kerana dengan memiliki sifat sedemikian akan mencapai kemajuan dan kejayaan.
Dalam urusan perniagaan, sifat jujur dan amanah amat diperlukan bahkan agama Islam turut mewajibkan supaya kita bersifat jujur dan menjauhi sifat khianat. Jika kita jujur pasti para pembeli akan percaya kepada mutu barangan yang dijual dan akan merasa selamat daripada penipuan. Berniaga merupakan salah satu usaha kita mencari rezeki yang baik, tetapi kadangkala rezeki yang baik dan halal itu boleh tercemar menjadi sebaliknya iaitu jika ada sikap dan perbuatan khianat dilakukan. Antaranya seperti melakukan penipuan dengan mengurangkan timbangan dan sukatan dari yang sepatutnya, menipu dengan sumpah-sumpah palsu, memuji-muji barang dagangan sendiri sedangkan tidak seperti yang diucapkan, memburuk-burukkan barang dagangan orang lain dan sebagainya.
Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan agar urusan jual beli dijalankan dengan menyempurnakan timbangan, sukatan dan sebagainya. Hal ini ditekankan melalui firman-Nya yang tafsirnya :
"... Dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil ..."
(Surah Al Israa' ayat 35).
Mengurangi timbangan dalam urusan jual beli atau perniagaan adalah salah satu di antara penipuan yang sangat dilarang oleh Islam. Allah mengancam akan menyeksa orang-orang yang menipu sesamanya. Dalam perkara ini Allah Subhanahu Wata'ala berfirman yang tafsirnya :
"Kecelekaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada Hari (Kiamat) orang yang amat besar (huru-haranya). Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam?"
(Surah Al Mutaffifiin ayat 1-6).
Sebahagian peniaga lebih mengutamakan keuntungan sehingga sanggup menipu orang ramai. Mereka berkeyakinan bahawa siapa yang lurus dan jujur tidak akan mendapat untung. Malahan ada yang beranggapan bahawa menipu dalam urusniaga adalah perlu sebagai taktik dan strategi. Sebagai umat Islam, kita janganlah melakukan tipu daya atau helah ketika berurusniaga, walaupun hasil daripada tipu daya tersebut membawa keuntungan yang lumayan dan kemewahan dalam kehidupan ini, kerana ia diperolehi melalui jalan yang tidak halal.
Pada zaman moden ini juga pelbagai cara dibuat demi untuk melakukan barang jualan, antaranya seperti mempromosikan barang jualan dengan makluamt yang kurang bertepatan atau palsu untuk mengadakan jualan murah sedangkan tiada pengurangan harga dibuat atau menjual murah hanya pada barang stok lama atau bahan makanan yang hampir-hampir luput tarikh baik penggunaannya. Ada juga sebahagian peniaga yang terlalu meninggikan harga jualannya dan akan menurunkan harga jika ada pembeli yang berminat. Bukankah semua ini penipuan yang akan mengelirukan orang ramai dan hak pengguna?
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :
"Barang siapa menjual barangan yang cacat di mana ia tidak menerangkannya, nescaya ia sentiasa di dalam kemurkaan Allah, dan Malaikat tidak akan henti-henti melaknatnya," (Hadis riwayat Al-Imam Ibnu Majah).
Sebenarnya berlaku jujur dalam berniaga amat menguntungkan dan hanya yang bersifat tamak sahaja yang menganggap ia adalah perbuatan yang merugikan. Biarpun keuntungan hanya sedikit tetapi jika ia diperolehi dengan jalan yang jujur, ia akan dapat membawa ketenangan dan ketenteraman jiwa, keluarga dan harta benda serta inilah sebenarnya yang disebut kekayaan yang membawa berkat.
Dari itu, marilah kita sama-sama beringat terhadap kewajipan kita sesama Muslim dengan saling tegur-menegur dan nasihat-menasihati demi kesatuan umat Islam. Kita semua adalah bersaudara, kerana itu janganlah kita menipu saudara kita sendiri. Berniagalah secara jujur, insya-Allah akan mendapat keuntungan dan keselamatan di dunia dan akhirat.
0 comments:
Post a Comment